JULAU, 9 OGOS 2025 - Akses perhubungan dan infrastruktur di Daerah Julau bakal mengalami perubahan besar apabila peruntukan dianggarkan berjumlah RM322 juta diluluskan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak bagi menaik taraf tiga jalan raya.
Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, dengan adanya peningkatan pendapatan Sarawak, maka kini masanya ia dikongsi bersama rakyat dalam bentuk pembangunan infrastruktur yang lebih baik dan maju.
"Pertamanya, kita nak naik taraf jalan raya tanah dari Jalan Nanga Lasi, Balut ke Suchong dengan dianggarkan peruntukan sebanyak RM92 juta.
"Keduanya membina jalan di Jalan Ligan, kerana kawasan itu banyak penghuninya, jadi hari ini kita luluskan juga dengan peruntukan lebih kurang RM80 juta.
"Dan ketiganya Jalan Entaih, Rumah Sang Lasa, Kemalih serta jalan-jalan kecil lain, peruntukannya dianggarkan berjumlah RM150 juta," katanya dalam ucapan ketika Majlis Perasmian Jambatan Nanga Lasi, Julau pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan jalan baharu dari Julau ke Jalan Ulu Layar, Betong sejauh 5.9 kilometer.
Kata beliau melalui pembinaan jalan-jalan dan jambatan baharu, jarak perjalanan dari Meluan ke Kuching dijangka dapat dipendekkan dari lima jam sekarang ke hanya 2 jam 30 minit menjelang tahun 2030.
"Apabila jalan-jalan dan jambatan-jambatan baharu dibina, ini akan membuka akses terutamanya kawasan terpencil. Ini membolehkan penduduk menjual produk mereka dan dieksport keluar dari daerah masing-masing sekaligus dapat menambah pendapatan," jelas beliau.
Pada majlis tersebut, Premier Sarawak merasmikan pembukaan Jambatan Nanga Lasi yang merentasi Sungai Julau bagi menggantikan jambatan gantung yang sekian lama digunakan penduduk untuk menyeberangi sungai terutamanya untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Nanga Lasi.
Jambatan dengan kos pembinaan bernilai RM4.7 juta ini turut dilengkap dengan sistem lampu solar dan ia bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk kawasan tersebut.
Premier Sarawak turut berkesempatan dibawa tinjauan mesra melalui sendiri Jambatan Nanga Lasi dan seterusnya mengakhiri lawatan kerja tersebut ke Rumah Panjang Inting, Nanga Lasi yang berdekatan dengan jambatan berkenaan.
Di rumah panjang tersebut, beliau dibawa melihat keadaan rumah panjang dan seterusnya beramah mesra dengan penduduk.
Ketika berucap ringkas kepada penduduk rumah panjang berkenaan, Premier Sarawak sempat berpesan agar penduduk tetap menjaga keharmonian dan sentiasa bersatu hati bersama Kerajaan GPS agar segala perancangan pembangunan dapat berjalan dengan jayanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel bin Lariwoo, dan Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Meluan Rolland Duat Anak Jubin.